Friday 7 June 2013

MENGAPA MELAYU BANDAR MARAH DENGAN UMNO DAN BN



Others should emulate Najib

Ternyata terdapat pemimpin UMNO kini tidak lagi digemari oleh golongan Melayu Bandar. Mereka dilihat sebagai mementingkan diri dan tidak wajar terus kekal dalam barisan pucuk pimpinan parti kerana pelbagai sebab.

Antaranya sudah terlalu lama. Ada yang dilihat menjadi kaya raya setelah menjadi pemimpin UMNO. Mereka tidak lagi berjumpa dengan rakyat dan sering menunjukkan kemewahan. Anak-anak dan Menteri sendiri kelihatan membawa kenderaan mewah di komplek membeli belah. Jarang yang bertegur sapa dengan rakyat malah ada yang mahu menjauhi diri daripada orang ramai.

Orang Melayu sayang kepada UMNO tetapi benci dengan pemimpin-pemimpin yang tidak mesra rakyat. Masa pilihanraya pemimpin begitu mesra sekali dengan pengundi. Sanggup makan dan minum guna pinggan dan cawan biasa, tetapi apabila dilantik menjadi Menteri atau apa-apa jawatan mereka bertukar menjadi manusia sombong dan tidak lagi mesra rakyat.

Yang peliknya, masalah lain dan cara mengatasinya pula tidak ada kena dengan masalah yang dihadapi. Sepatutnya pemimpin berubah menjadi pemimpin yang berwibawa dan sentiasa menjaga kepentingan rakyat. Sebaliknya, cadangan untuk pulihkan UMNO ialah dengan menjadikan BN sebagai satu parti.

Memanglah orang Melayu marah. Itu bukan apa yang mereka hendak. Yang diperlukan ialah pemimpin UMNO yang jujur, tidak sombong, tidak menunjukkan kemewahan dan sentiasa mendamping rakyat.

Dari apa yang boleh kita lihat, terdapat persetujuan di kalangan orang Melayu dan mereka yang menyokong BN bahawa sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan UMNO dan BN terus diterima rakyat atau pengundi.

Yang lebih serius, rakyat Bandar merasa ada jurang yang luas di antara mereka dan pemimpin UMNO yang dikatakan memperjuangkan nasib orang Melayu di negara ini.

Ini mungkin kerana pemimpin UMNO dan kerajaan tidak lagi kelihatan bersama dengan rakyat. Pemimpin UMNO terlalu sibuk(?) sehingga tidak ada masa untuk berjumpa dengan rakyat.

Acara turun padang pula yang diadakan tidak dilihat dilakukan secara ikhlas. Jika di negeri-negeri Menteri-Menteri Besar menyedia satu hari dalam seminggu sessi bersama rakyat di pejabat mereka, mengapa perkara yang sama tidak boleh dilakukan oleh Menteri-Menteri Kabinet.

Menteri-Menteri Kabinet seharusnya menggada perjumpaan dengan rakyat atau pertubuhan-pertubuhan yang mewakili rakyat sekurang-kurang sekali seminggu bagi mendengar sendiri apa yang mereka ingin zahirkan. Ini untuk meyakinkan rakyat bandar bahawa kepenting mereka sentiasa dijaga oleh Kerajaan.

Jangan sesekali menyerahkan urusan rakyat kepada pegawai sahaja. Laungkan masa kerana mereka mahu melihat Menteri sendiri yang mendengar masalah mereka dan mengambil tindakan sewajarnya. Rakyat tidak mengundi pegawai.


Terdapat beribu NGO yang ditubuhkan dan Menteri berkenaan perlu menyediakan masa untuk berjumpa dengan mereka beberapa kali dalam setahun. Ini baru bermakna dan ahli-ahli NGO akan merasa bangga bahawa masalah dan cadangan mereka mendapat perhatian Kerajaan. Kemesraan ini akan membantu UMNO dan BN untuk terus berkuasa.

Jangan hanya berkata, zaman Kerajaan mengetahui segalanya sudah berakhir, buktikan dengan mengadakan perjumpaan dengan rakyat sekerap mungkin. Rakyat mahu berkata dan Menteri mendengar dan ambil tindakan sewajarnya.

Kalau tidak sanggup baik berhenti sahaja. Jangan jadi punca kekalahan UMNO dan BN dalam PRU14.

Kita tahu ada banyak masalah yang dihadapi rakyat di Bandar. Mereka perlu diberi bantuan dan perlindungan. Perhatian sering diberikan di luar Bandar tetapi penduduk Bandar jarang mendapat perhatian kerana ramai menggangap mereka tiada masalah.

Itu sebabnya, ramai penduduk Bandar yang pulang ke negeri masing-masing pada musim pilihanraya umum jarang menyokong kerajaan. Sebaliknya mereka lebih menyokong pembangkang kerana ramai pemimpin pembangkang berjumpa dengan mereka menerusi ceramah-ceramah yang di adakan tanpa putus-putus.

Jangan terlalu mengharap media arus perdana untuk menyampai mesej kerajaan. Ianya tidak begitu berkesan. Rakyat mahu didampingi bukan memaksa mereka membaca atau mendengar mesej dari saluran akhbar, radio dan TV sahaja