Tuesday 13 August 2013

ASAL RAKYAT SUKA....BUAT AJE LAH

Di,

Hari ini jalan-jalan di Kuala Lumpur sudah mulai sibuk. Ramai yang bercuti raya di kampung kini sudah pulang. Pejabat mulai dipenuhi dengan pekerja. Tetapi mood raya masih menebal dan ramai yang lebih suka berbual dan bercerita pengalaman beraya di kampung daripada berkerja.

Saya sendiri lebih banyak habiskan masa bersurfing dalam dunia siber. Rakan-rakan kerja tak ramai lagi bertugas. 
  
Di dunia siber pun nampak tidak begitu aktif. Ramai yang masih "bercuti". Tulisan dan komen tidak begitu pedas lagi...mungkin blogger kebanyakkan masih kenyang dan segan (bahasa utara untuk malas) pegang keyboard.

Bagaimanapun, kawan kita Si Anwar (Ketua Pembangkang) itu dan mula bercakap-cakap. Dia kata, penghapusan undang-undang yang membenarkan tahanan tanpa bicara seperti EO dan ISA bukan punca kadar jenayah meningkat di negara ini. Dia juga kata tembak menembak itu biasa dan berlaku juga semasa undang-undang tersebut masih berkuat kuasa.


Beri kuasa yang lebih kepada Polis buru penjenayah


Bagi dia agaknya, kadar jenayah yang meningkat kini  terjadi kerana pihak berkuasa, polis lah tu, tidak menjalankan dengan baik atau ....

Mungkin Bang Anwar dah rasa bahan kemarahan rakyat yang menyalahkan orang politik kerana menyebabkan samseng bertindak ganas ekoran dari penghapusan undang-undang pencegahan jenayah.

Kini dia mahu Kerajaan dan polis panggil semua pihak, termasuk pembangkang berbincang mencari jalan penyelesaian. Mati-mati, dia dan konconya tidak mahu mengaku yang penghapusan undang-undang itu menyebabkan kadar kekejaman jenayah semangkin meningkat.

Cakap-cakap kosong ini buang masa. Kita perlu bertindak segera. Apa nak bincang lagi. Akhirnya semua akan bersetuju perlunya ada undang-undang baru mengatasi masalah jenayah yang meningkat.

Kita semua dah tahu,  samseng yang dibebaskan dari tahanan buang daerah kini kembali ke tempat masing-masing dan semestinya mahu kembali berkuasa semula. Ini sudah pasti membawa kepada perbalahan antara geng yang membawa kepada kejadian tembak menembak. Yang paling malangnya apabila peluru sesat mengena orang ramai yang tidak berdosa.

Dalam hal ini Kerajaan pun patut disalahkan. Terlalu cepat tunduk dengan tekanan dan tidak mengambil kira pandangan pihak polis sebelum membuat keputusan. Ramai cerdik pandai di negara ini membantah usaha Kerajaan mahu menghapuskan undang-undang tersebut kerana bimbang dengan kesan yang boleh terjadi. Kerajaan tidak dengar. Kerana nak popular, bertindak melulu. Kini, Kerajaan juga yang susah.

Kebimbangan pihak berkuasa menjadi kenyataan dan Kerajaan kelihatan terkapai-kapai dalam mencari jalan penyelesaian. Akhir-akhir ini Kerajaan terpaksa mencadangkan suatu rang undang-undang baru, katanya hampir dengan yang dulu di mana suspek boleh ditahan tanpa bicara.

Saya percaya kerajaan perlu mempercepatkan proses kelulusan undang-undang ini. Walaupun pembangkang akan protes. Bar Council akan protes, Suaram akan protes, Suhakam akan protes tetapi rakyat akan gembira.


No comments:

Post a Comment